Saturday, 28 November 2015

Saya Ambil Seni Bina Kerana Komik

Assalamualaikum warrahmatullah hiwabarokatuh

Hak Milik Suralaya. Orang Asli Community Centre

"Saya suka melukis. Bidang apa yang saya perlu ambil?"
"Architecture."

Kebanyakan manusia akan memberi jawapan yang lebih kurang sama. Mungkin disebabkan bidang seni bina ada berkaitan dengan seni dan merupakan pekerjaan professional, maka bidang ini terus terpancul di kepala.

NAMUN....

Saya lebih bimbang kepada mereka yang mengambil seni bina kerana minat melukis figura manusia (komik).

Seni bina banyak bermain dengan struktur bangunan, sketch yang buruk dan hodoh, pengiraan, geografi, psikologi, kejuruteraan, etc. Di dalam dunia seni bina, anda akan lebih banyak melukis bangunan dan persekitaran. Melukis manusia seperti di dalam dunia anime dan komik, itu sangat-sangatlah tidak digalakkan. (Pensyarah tak bagi. T_T )

Kepada mereka yang mencadangkan seni bina. Andai anda mencadangkan seni bina kepada mereka yang minat melukis, anda mungkin benar-benar tidak memahami seni bina.

Di universiti islam antarabangsa, di tahun pertama dan kedua, kami melukis pelan menggunakan pen dan pensel. Namun, apabila di tahun ketiga, kami menggunakan software autocad, sketchup, 3D max, artlantis, etc. Apabila bekerja (sebagai pembantu arkitek), kami bakal menggunakan komputer lagi.

Andai ada yang bertanya kepada saya, saya akan menjawab, "Adik, kalau minat architecture, pergi study apa itu architecture. Kalau betul suka melukis, adik tak boleh melukis orang je. Banyak melukis bangunan dan alam sekitar. Adik kena jatuh cinta kepada struktur bangunan. Adik kena belajar jatuh cinta dengan budaya manusia. Adik kena latih mental adik untuk lebih kuat. Adik kena sanggup makan tak teratur dan tak dapat tidur dalam beberapa hari."

Baiklah. Point saya bukanlah kepada seni bina sebenarnya tetapi lebih kepada pelukis komik.

Hanya disebabkan anda minat melukis komik, tidak semestinya anda perlu mengambil seni bina. Kebanyakan kenalan saya pelukis komik dan tidak kesemuanya mengambil bidang seni.

Osamu Tezuka merupakan pelukis komik Astro Boy, Black Jack dan banyak lagi. Namun sebenarnya, dia mengambil bidang kedoktoran dan mencapai 'medical degree'. Ilmu medikal yang dia perolehi telahpun dia berkongsi melalui penceritaannya, Black Jack.

Maka di sini, hanya kerana anda minat melukis, tidak semestinya anda perlu mengambil bidang seni bina atau segala jenis bidang seni yang lain. Bagi saya, melukis komik merupakan cara yang sangat efektif untuk kita berkongsi ilmu yang ada. Apabila anda belajar bidang selain daripada seni, anda sebenarnya menambahkan ilmu anda dan boleh pula masukkan di dalam penceritaan anda.

Melukis ini kebebasan. Anda tidak boleh melimitkan diri anda kepada satu bidang hanya kerana anda minat melukis. Seni bina banyak bermain dengan kreativiti, sains, mentaliti, psikologi dan memenuhi kehendak pengguna. Anda perlu mengambil kira banyak benda. Adakalanya, anda perlu mengorbankan diri daripada memenuhi kepuasan anda. Namun, melukis ini tiada betul mahupun salah. Anda boleh melukis apa yang anda mahu asalkan kena pada syaraknya.

Saya bukanlah tidak menggalakkan anda untuk mengambil seni bina. Saya juga tidak begitu menghalang mereka untuk mencadangkan seni bina (ok. aku tipu). Namun, anda perlu faham seni bina sebelum anda ingin memilih jalan ini. Melukis itu boleh diasah walaupun tiada guru. Memilih bidang ini untuk melarikan diri daripada subjek sains juga agak salah kerana seni bina banyak bermain dengan fizik.

Seperti saya sendiri, saya lebih berminat menulis daripada melukis. Pensyarah pernah berkata, "In architecture, we need more sketches. Architects draw, not write." Namun, saya mengambil sudut positif, mungkin saya boleh berkongsi kisah seni bina di dalam tulisan penceritaan saya.

Maka, sebelum anda ingin memilih atau mencadangkan seni bina, persoalkan diri anda. Adakah aku ingin melarikan diri daripada sains? Adakah aku lebih berminat dengan struktur manusia daripada struktur bangunan? Adakah aku benar-benar memahami seni bina? Adakah mentaliti aku kuat? Adakah aku sanggup tak makan dan tak tidur? Adakah aku tahu yang seni bina ini lebih banyak menggunakan komputer daripada manual?

Mungkin boleh juga jadi seperti Azhar Sulaiman. Dia merupakan arkitek namun dalam masa sama, dia merupakan pelakon dan pereka set tv/filem. Bermaksud, cinta anda kepada seni itu sangat kuat dan seni bina itu menguntungkan anda di dalam minat anda sekarang ini.

P.s : Silap manusia ialah seni bina memerlukan bakat untuk melukis. Kebanyakan pelajar di sini berlatarbelakangkan sains daripada seni namun mereka lebih hebat.

Semua orang melukis. Bahkan, apabila anda ketika kecil, anda sudah mula melukis di atas kertas, di atas dinding mahupun di atas lantai. Andai ada memilih bidang lain sekalipun, anda masih mampu melukis. Namun melukislah dengan ilmu yang ada perolehi. Bukankah itu lebih menarik?

Nah. Lukisan arkitek professional. Lawa sangat~ Boleh tengok bangunan sebenar mereka dengan Encik Google.

Zaha Hadid : National Museum of XXI century arts
Frank Gehry : Walt Disney Concert Hall



Oscar Niemeyer : Niteroi Contemporary Art Museum

Okay. Yang ni untuk mereka yang suka lukis figura manusia.

Santiago Calatrava : Turning Turso

Bidang ni bukan melukis je wei.

Hak Milik Atiqah Farhana Safian. Dua hari tak tidur buat benda ni.

Wednesday, 11 November 2015

Karma ( Part 11)

Hak Milik Atiqah Safian
P.S : Bagi yang belum membaca Karma dari Part 1, boleh klik link INI.

Badan Aina menggigil semula pabila mata Saiful tajam memandang wajahnya. Pabila Saiful mendekati Aina, bibir Aina terketar-ketar. Terkumat-kamit bibir Aina menyebut nama Allah. Hatinya tidak berhenti berdoa meminta perlindungan.

Tangan Saiful masih lagi memegang pisau dengan erat. Aina memandang sahaja, mengharapkan Saiful tidak mengapa-apakan dirinya. Saiful melutut sambil matanya terus terpaku memandang wajah Aina.

"Aku tahu aku dah melebih, Aina. Tapi aku buat semua ni bukan sebab dendam. Aku cuma nak selamatkan ibu aku je. Cara macam tu je akan buatkan dia berhenti tapi aku tak sangka pula dia mati. Aku tak sengaja. Tapi bagitau aku, Aina. Adakah dengan kata-kata lembut kau tu mampu menyedarkan Huda?"

Aina terdiam. Ya. Huda seorang yang agak sosial. Sudah beberapa kali dia cuba menyedarkan Huda namun gadis itu hanya memekakkan telinganya sahaja.

"Tak mampu kan? Jadi, aku buat semua ni supaya dorang sedar, semua ni sifat sementara sahaja. Kecantikan pada tubuh badan tidak akan berkekalan. Seksaan semua ni sikit je kalau dibandingkan seksaan di neraka nanti."

Hati Aina terasa sebak. Tiba-tiba Aina terkenang kenangan dia bersama-sama Saiful di rumah anak-anak yatim. Senyuman Saiful yang tersimpan seribu satu kepahitan. Saiful tidak ubah seperti abangnya sendiri. Hatinya Aina terasa begitu berat namun...

"Maafkan aku, Saiful."

Kaki Aina tiba-tiba sahaja menolak pisau di tangan Saiful ke arah perut lelaki itu sendiri. Dia cuba bangkit walaupun badannya masih terikat pada kerusi. Dirempuh badan lelaki itu hingga Saiful meraung kesakitan.

Pisau yang tercampak jauh terus Aina kutip dengan sukarnya. Dia cuba berhati-hati memotong ikatan tersebut. Saiful yang cedera cuba bangkit dengan lemah. Aina yang sudah melepaskan diri terus memberi sepakan 'flap kick' ke arah wajahnya. Sekali lagi, Saiful rebah.

Nasib Aina baik kerana dahulu ayahnya pernah memaksanya untuk mengikuti latihan karate do. Memang sungguh berbaloi. Terus Aina mengikat tangan dan kaki Saiful yang masih lemah akibat darah yang tidak berhenti mengalir.

Terus dilepaskan pula Fazira yang masih lagi tidak berhenti menangis. Mereka saling berpelukan. Aina memandang wajah Saiful yang semakin pucat.

"Saiful. Dengan kekasaran jua tak mampu mengubahkan seseorang manusia. Kita sudah jalankan tanggungjawab kita untuk membawa dorang ke arah jalan yang benar. Tapi dorang sendiri yang perlu memilih jalan yang dorang nak masuk. Islam itu indah, Saiful. Jangan disebabkan kekejaman kau, mereka fikir Islam itu zalim dan akhirnya, menjauhkan diri dari kebenaran."

***

Aina merenung jauh memandang keindahan ciptaan Allah swt. Terasa hebat sekali malah hebat lagi keadaan di syurga nanti. Tapi entah pula bagaimana keadaan di neraka. Pasti mengerikan malah lebih buruk daripada segala ngeri di dunia ini. Malah, semestinya lebih ngeri daripada seksaan yang berlaku di hadapan matanya sendiri.

"Teringatkan Saiful lagi?"

Lamunan Aina terganggu. Dia mencari-cari suara tadi. Terlihat susuk tubuh badan yang kecil duduk bersebelahan dengannya. Huda. Tampak lebih manis daripada selalu bersama-sama tudungnya serta berbaju kurung.

Saiful. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu. Ayah kata, dia dimasukkan ke hospital bahagia demi mendapatkan rawatan. Tapi ada juga yang berkata dia dimasukkan terus ke lokap dan bakal menerima hukuman gantung sampai mati.

Bukan Aina sudah tidak peduli akan Saiful. Namun, dia perlukan ketenangan. Begitu jua Fariza yang kini cuba mencari kehidupan baru. Huda pula tampaknya sudah mencari sinar cahaya keimanan. Aina sungguh bangga dengan Huda.

"Aina, janganlah terlalu benci akan Saiful. Kalau Huda, Huda terasa nak berterima kasih dengan dia."

Berterima kasih dengan seseorang yang telah menyeksa kita? Adakah Huda sudah tidak siuman? Aina memandang wajah Huda yang tersenyum dengan seribu satu tanda tanya.

"Mungkin betul, sebelum ni Huda cuma tutup aurat sebab malu nak tunjuk badan Huda yang dah cacat ni. Tapi lama-lama Huda rasa dah terbiasa pula dan dah mula tutup aurat kerana itu adalah suruhan-Nya, bukan kerana malu kepada manusia. Allah menghantar Aina kepada Huda untuk bagi kesedaran secara lembut tapi Huda tak nak dengar. Allah hantar pula Saiful. Adakalanya musibah itu mampu membangkitkan atau menjatuhkan manusia."

"Aina.. Saiful pada awalnya tegur Huda tapi Huda tak boleh terima. Huda memang silap sebab Huda ingat diri Huda je betul. Huda tak nak jadi hipokrit pada manusia tapi Huda hipokrit pada Allah. Mungkin kalau semua ni tak terjadi, Huda takkan sedar semua ni. Semua ada hikmah-Nya. Huda tak hormat pada diri Huda jadi orang lain pun tak hormat Huda macam Saiful tu. Tapi dia sangat hormat Aina dengan Fazira sebab korang hormat diri korang sendiri."

"Menutup aurat bukan sekadar untuk dapatkan keredhaan-Nya. Tapi kerana ingin melindungi diri daripada manusia yang ada niat yang tidak baik kepada kita. Kita dapat elakkan fitnah dan pandangan yang tidak baik daripada kaum lelaki. Huda pun dah faham sekarang kan?" Aina pula berkata-kata.

Huda tersenyum manis. Aina pula membalas dengan senyuman yang lebih lebar. Akhirnya, Huda sedar kepentingan menutup aurat itu. Tapi entah berapa ramai lagi manusia di luar sana yang sependapat dengan Huda. Dan entah berapa ramai hamba Allah di dunia ini sedar bahawa hari yang dijanjikan semakin tiba. 'Ya Allah, Kau berikanlah hidayah kepada hamba-Mu ini.' desis hati Aina.

- Tamat -

( Alhamdulillah. Tamat sudah. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~ )

<----- Part 10

Tuesday, 10 November 2015

Karma (Part 10)

Hak Milik Atiqah Safian

Lama Saiful memerhati pisau di tangannya. Tiba-tiba terasa badannya ditepuk kasar. Dia memalingkan wajahnya dan terlihat ibunya sedang memeluk tubuh.

"Lepas ni, kau pula yang kena cari kerja. Faham?"

Mata Saiful kuyu. Kenapa begitu sukar ibunya memahami perasaannya kini? Kenapa tidak dibuang sahaja dirinya? Adakah ada sedikit kasih sayang di hati ibunya? Adakah mungkin di sebalik wajah ngerinya itu, wujud kesedihan atas kehilangan Baizura? Jika benar, sungguh Saiful masih menyayangi ibunya itu.

"Kalau Saiful kerja, boleh tak ibu berhenti kerja?"

Tiba-tiba terasa pipi Saiful ditampar dengan kuat. Saiful sungkur, rebah ke bumi. Pipinya merah menyala. Kali ini, dia tidak mampu menyembunyikan tangisan air matanya lagi. Dia cuba bangkit tanpa memandang wajah ibunya.

"Kau ingat kau siapa, hah? Kalau aku tak kerja, kau tak makan tau! Kau nak aku berhenti, hancurkan badan aku ni dulu !"

Saiful masih memegang erat pisau di tangannya. Terkumat-kamit bibirnya menyebut perkataan syurga. Dia kini bangkit lalu memandang wajah ibunya yang masih merah menahan perasaan marah. Secara tiba-tiba dia tersenyum sinis.

"Takpe ibu.. Saiful bawa ibu ke syurga ek.."

Dan tanpa apa-apa amaran, Saiful terus menikam ibunya dengan pisau. Terkejut ibunya. Badannya terjatuh dan darah terus mengalir. Ditarik rambut ibunya yang lemah ke bilik kurungan. Dikunci bilik tersebut lalu dipandang tajam ke arah ibunya.

"Saiful.. Berhenti Saiful.."

Ibunya terus merayu, meminta simpati daripada satu-satu anaknya itu. Namun Saiful tetap mendekati ibunya lalu ditarik rambutnya yang panjang. Dipotong rambut tersebut. Tangisan ibunya bagaikan tiada makna. Dipotong sehingga botak hinggakan kepalanya luka-luka.

"Rambut ibu yang cantik ni kena potong.. Lepas ni, takde siapa nak pandang rambut ibu ni lagi.."

Tanpa rasa belas ihsan, Saiful menyiat pula kulit ibunya. Meraung ibunya kesakitan namun Saiful tetap memekakkan telinga. Dia hanya terus dengan angannya sambil menyebut perkataan 'syurga'. Hatinya kini benar-benar kosong. Dia terus memberi seksaan kepada ibunya. Yang tinggal hanyalah wajah dan kedua-dua telapak tangannya.

"Aurat wanita itu ialah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan tapak tangannya. Sekarang, badan ibu dah hancur. Ibu berhenti kerja ek.."

Diam. Saiful memandang jasad ibunya yang mengerikan. Barulah dia fahami ibunya sudah tidak bernyawa lagi. Dia mengambil pelita di dapur lalu sengaja dijatuhkan pada rumah papannya. API! Terus menyelinap segala ruang isi rumahnya. Saiful duduk di tepi hujung rumahnya, duduk memeluk kakinya.

"Takpe.. Panas api ni tak sehebat panasnya api neraka. Betul tak, ibu.."

Tiba-tiba terlihat satu susuk badan yang sasa merempuh pintu rumahnya. Saiful terus diangkat keluar dari rumah tersebut. Terdengar ramai menjerit melihat kebakaran. Tika itu, Saiful sudah tidak ingat apa-apa lagi. Segalanya menjadi hitam.

***

"Bila aku bangun, aku ingatkan aku dah mati. Tapi aku nampak kau pula, Aina. Kau pula yang rajin jenguk aku bila aku dah takde sesiapa lagi."

Saiful ketawa kecil. Ya. Aina teringat lagi. Sebelum ibunya kembali ke rahmatullah, ibunya menjadi penjaga di rumah anak-anak yatim. Dia selalu lihat Saiful keseorangan di rumah itu, tidak mahu bergaul dengan sesiapa. Aina pula yang mesra alam.

"Kau macam adik aku. Korang pun hampir sebaya. Memang aku terasa adik aku macam dah hidup balik tapi realitinya, dia dah takde.."

Kakinya melangkah ke arah Aina yang hampir sahaja menangis ketakutan. Namun, mata Saiful kuyu seperti seorang yang tidak bersalah. Di kala itu, Aina berdoa berkali-kali mengharapkan semua ini hanyalah satu mimpi.

"Aku buat semua ni sebab nak selamatkan wanita-wanita kat dunia ni. Koranglah permata di syurga nanti. Korang bangga dengan kecantikan tubuh badan korang kat dunia sampai sanggup tunjukkan semuanya kat lelaki macam aku ni. Aku tak nak dorang jadi ahli neraka. Jadi, aku terpaksa hancurkan semua perhiasan tu supaya diorang malu nak tunjukkan lagi."

Saiful kembali semula ke arah gadis berambut ikal mayang itu. Melihat keadaannya, Aina boleh menganggak yang dia sudah diberi dadah ke dalam badannya. Rambut gadis itu dipegang kuat. Dipotong rambut itu dengan kasar. Gadis itu pula tidak melawan.

Hingga akhirnya, kepala gadis itu sudah botak dengan luka-luka di kepalanya. Tiada lagi rambut ikal mayang. Saiful memandang wajah Aina yang sudah pucat lesu.

"Rambut wanita itu perlu ditutup dari pandangan lelaki. Kau dan Fazira faham semua tu dan korang menutupnya dengan jilbab. Aku hormat korang."

Kali ini, Saiful mengambil tangan gadis itu. Tanpa amaran, disiat-siat tangan hingga ke siku. Aina benar-benar terkejut. Secara tiba-tiba dia menjerit bagaikan orang gila ! Dia muntah, terlalu ngilu melihat kejadian di hadapan matanya sendiri. Air mata terus mencurah-curah dari matanya.

"Tangan wanita sentiasa menjadi perhatian lelaki untuk disentuh. Kau dan Fazira faham semua tu jadi korang memakai baju berlengan panjang untuk menutupnya. Aku hormat korang."

Fazira juga turut menangis. Ditutup matanya erat. Sudah tidak mampu melihat kejadian semua itu. Aina pula sudah tampak lemah. Berkali-kali dia beristighfar. Saiful mengambil pula tali pinggangnya. Dipandang wajah gadis itu tanpa belas ihsan. Akhirnya, dilibas-libas badan gadis itu sehingga cedera parah.

Aina memandang sahaja, tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terasa hendak bunuh sahaja Saiful atas tindakan kejamnya. Namun terasa ada belas ihsan kepada Saiful. Dia teringatkan wajah Saiful yang tidak bersalah tatkala mereka masih remaja. Aina tunduk membisu.

"Badan patut ditutup supaya tidak menjadi makanan rakusan lelaki. Kau dan Fazira faham semua itu jadi korang menutup seluruh anggota badan korang dan melonggarkan pakaian korang. Aku hormat korang."

Terus Saiful melibas lagi tali pinggangnya terhadap gadis itu manakala gadis tersebut meraung kesakitan. Aina cuba melepaskan diri. Begitu juga Fazira. Namun ikatan itu terlalu kuat.

"Berhenti Saiful... Demi arwah Baizura, berhenti!!!"

Tika itu, Saiful terpaku seketika lalu memandang wajah Aina yang sudah kekeringan air mata.

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

<------ Part 9
Part 11 ----->

Thursday, 5 November 2015

Karma (Part 9)

Hak Milik Atiqah Safian

Badan Aina menggigil secara tiba-tiba. Anak matanya beralih ke arah suara tadi. Bibirnya juga semakin kering. Air mata sudah mengalir membasahi pipinya. Jantung berdegup kencang malah seribu kali lebih laju kencangnya.

"Ke... ke.. napa?"

"Memang patut diorang terima nasib macam ni. Keseronokan... Membutakan mata manusia."

"Tapi kenapa Huda?? Huda tu sepupu aku! Sepupu aku, SAIFUL !!"

Saiful ketawa berdekah-dekah. Dia berdiri sambil memegang pisau di tangannya. Aina cuba berdiri namun badannya telah diikat pada kerusi. Saiful mendekati gadis yang berambut ikal mayang tadi. Terlihat Fazira masih lagi menangis teresak-esak.

"Kenapa libatkan Fazira? Kau patut tak bawa aku ke sini. Aku boleh bawa kau ke polis !"

"Fazira tau kau nak settlekan kes ni jadi aku tak boleh biarkan dia lepas. Memang tepat tekaan aku. Walaupun dah disuruh untuk panggil polis, kau masih datang risaukan aku."

Aina memandang wajah Fazira. Masih lagi menangis gadis sunti itu. Aina terasa benar-benar bersalah. Dia yang melibatkan Fazira. Melibatkan Fazira dalam semua ini. Sepatutnya, dia biarkan sahaja pihak polis menyelesaikan kes ini.

"Kenapa Saiful? Kenapa kau buat macam ni? Kau bukan jahat, kau baik !"

"Kau nak tau kenapa? Okay.. Aku cerita kisah aku 10 tahun dahulu.."

***

Tika itu, umurnya masih lima belas. Adiknya pula masih kecil, umur sekitar sepuluh tahun. Saiful benar-benar sayang akan adiknya, Baizura. Dia sanggup buat apa sahaja demi adiknya yang tercinta.

Namun, semenjak dilahirkan, tidak pernah dia kenal akan bapa kandungnya. Tidak pernah ibunya beritahu. Memang tidak mustahil. Ibunya mencari duit dengan menjual badannya kepada lelaki jantan yang tidak bermoral.

"Ibu.. Tolonglah berhenti ibu. Kita memang takde duit tapi kalau cari duit macam ni, duit tu jadi haram. Saiful sayang ibu. Saiful tak nak ibu masuk neraka."

Puas Saiful memujuk ibunya yang tercinta. Hingga dia menangis meminta ibunya itu berhenti daripada melakukan perkara berdosa itu. Namun kata-kata Saiful hanya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Ibunya langsung tidak mendengar malah memarahinya.

"Dengar sini, Saiful! Ibu dah takde cara lain lagi nak cari duit untuk kita semua. Ikutkan Ibu, Ibu rasa nak buang je kamu dengan Baizura. Nasib baik Ibu ni ada hati lagi tau! Kalau nak sangat Ibu berhenti, tunggu sampai Tuhan hancurkan badan Ibu ni dulu!"

Semakin sebaklah hati Saiful mendengar kata-kata ibunya. Namun cuba disembunyikan. Setiap kali ke sekolah, dia pasti menangis. Menangis setelah mempelajari pendidikan Islam. Tidak sanggup melihat ibunya itu dicampak ke alam neraka. Hina manapun ibu di mata manusia lain, dia tetap ibunya.

Suatu hari, dia pulang ke rumah. Terkejut melihat adiknya, Baizura menangis teresak-esak di bilik dalam keadaan separuh telanjang. Saiful cuba menenangkan adiknya namun semakin kuat pula Baizura menangis.

"Kau jangan nak manjakan adik kau tu sangat. Kalau Ibu sorang je kerja, tak terdaya nak tampung kamu."

Saat itu, Saiful sudah faham akan kata-kata ibunya. Dia juga turut menangis sambil menutup badan Baizura dengan kain selimut. Saiful memeluk erat badan Baizura yang masih tidak berhenti menangis. Mata Saiful memandang wajah ibunya. Ibunya terus berpaling tanpa rasa kasihan sedikit pun buat anak-anaknya.

Baizura terus dijadikan makanan rakusan manusia yang berhati binatang. Saiful cuba menghentikan segalanya namun, setiap kali pelanggan tiba, ibunya akan menguncikan Saiful di biliknya. Sebaik sahaja dilepaskan, terus Saiful mencari adiknya yang menangis.

"Sakit, abang.. Sakit.."

"Gigit tangan abang."

Saiful menghulurkan tangannya, biar adiknya melepaskan rasa kesakitan pada gigitan. Sungguh Saiful terasa benar akan kesakitan itu namun dia sudah buntu, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Setiap malam pasti diusap kepala adiknya di bilik kurungan. Pernah mereka cuba melarikan diri namun ibunya akhirnya bertindak untuk mengurung mereka berdua.

"Baizura sayang abang.."

"Abang pun sayang Baizura.."

Tiada hujan, tiada ribut. Sungguh terkejut Saiful apabila terlihat Baizura mati tergantung di hadapan matanya. BAIZURA TELAH BUNUH DIRI ! Saiful meraung tidak ingat dunia. Dipeluk jasad adiknya yang tercinta. Hati mana tidak hancur melihat adik sendiri mati di depan mata.

Semenjak itu, hati Saiful sudah kosong. Terasa lemah benar semangatnya. Ibunya berpura-pura konon bersedih hati akan kehilangan Baizura, bagi meminta simpati daripada jiran sekampung. Pasti jiran-jiran akan memberinya sedikit wang.

"Baizura... Kenapa bunuh diri? Nanti kita tak jumpa kat syurga... Syurga.. Syurga.. "

Saiful bermonolog sendiri. Matanya terpandang sesuatu di atas meja dapur. Dia bangkit mendekati objek tajam tersebut. Sebilah pisau yang tampak baru sahaja diasah. Saiful membelek-belek pisau tersebut.

"Syurga... Syurga..."

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

<----- Part 8
Part 10 ----->

Tuesday, 3 November 2015

Karma (Part 8)

Hak Milik Atiqah Safian

"Apa kau buat kat sini ?"

"Sorry aku lambat. Aku ada hal tadi. Ternampak kereta kau kat luar, jadi aku terus cari kau kat sini."

"For your information, aku buat semua kerja sendiri je tau. Kau duduk relax je dengan hal kau."

"Kau ingat aku curi tulang? Aku pun sibuk buat research lar. Masa kau tengah sibuk petang tadi, aku terjumpa something lagi best."

Aina terkejut. Belum sempat Aina hendak bertanya dengan lebih lanjut, Saiful menunjukkan isyarat untuk berbual di luar sahaja. Mungkin kerana bingit sangat suasana di situ. Aina menurut, sekali lagi cuba menjaga hijab antara lelaki dengan perempuan.

"I've found the criminal's hideout."

"Tell me you're joking."

"Ni bukan masa nak melawak. Jom! Aku bawa kau ke tempat tu."

Terus Saiful masuk ke dalam kereta. Aina juga begitu tetapi ke dalam keretanya sendiri. Tanpa berlengah lagi, Aina mengikut kereta Saiful dari belakang. Dipandu kereta itu berhati-hati pada malam yang sudah gelap gelita ini.

Beberapa minit kemudian, tibanya mereka berdua di sebuah rumah lama. Tampak sudah usang rumah tersebut. Pasti sudah lama ditinggalkan. Aina keluar dari kereta, memandang rumah tersebut dengan hati berdebar-debar. Terus dia melangkah ke arah rumah itu namun dihalang oleh Saiful.

"Bahaya.."

"Kalau bahaya, kenapa kau panggil aku ke sini?"
"At least, kalau aku lambat keluar, kau ada jadi backup aku. Kau boleh panggilkan polis."

Aina mengerti. Tiba-tiba Saiful mengeluarkan sepucuk pistol dari poketnya. Terkejut Aina dibuatnya.

"Mana kau dapat pistol?"

"Urm.. Fazira yang kasi. Ni pun dia ambil dari ayah dia. Dia minta aku lindungi kau."

Fazira? Masih risau Fazira akan keselamatan Aina. Tika itu, mata Aina mengecil. Sejak kecil lagi mereka berdua bersama-sama. Ayah mereka berdua bekerja di tempat sama, dengan itu semakin rapatlah Aina dengan Fazira.

Saiful memandang wajah Aina. Aina membalas pandangan Saiful lalu mengangguk. Saiful menarik nafas seketika lalu masuk ke dalam rumah usang tersebut. Hati Aina menjadi tidak keruan. Risau pula akan keselamatan Saiful.

Dengan bacaan Basmallah, Aina masuk secara senyap-senyap. Aina cuba merangkak sambil matanya melilau ke sana ke mari. Gelap sahaja rumah tersebut. Sunyi seperti tidak ada satu jasad di dalam rumah itu.

Tiba-tiba terasa kepala Aina diketuk dengan kuat. Aina pegang erat kepalanya lalu dia jatuh terlentang. Hitam. Gelap.

***

"Urgh.... Auuww..."

Aina mengeluh kesakitan. Semuanya masih kabur. Ternampak seperti ada cahaya di sebelah kanannya. Lilin.. Apa dah jadi? Aina tidak ingat apa-apa.

"Aina, kau tak apa-apa?"

Mata Aina melilau ke kiri. Saiful? Dia duduk memandang wajah Aina dengan air muka penuh kerisauan.

"Apa dah jadi ni, Saiful ?"

Aina cuba membeliakkan matanya. Terlihat seperti ada dua manusia di hadapannya. Seorang gadis berambut ikal mayang seperti sedang khayal dengan dunianya. Dipandang pula seorang lagi manusia di sebelah gadis berambut ikal mayang itu. Saat itu, Aina benar-benar terkejut apa yang dipandangnya?

"Fazira? Kau? Kenapa?"

Terlihat Fazira menangis dengan kain yang diikat pada mulutnya. Aina sudah menggigil. Adakah penjenayah itu sudah berjaya menangkap mereka semua? Aina juga hendak menangis.

"Jangan risau.. Aku akan bawa kamu semua ke syurga."

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam. )

<----- Part 7
Part 9 ----->

Friday, 30 October 2015

Karma (Part 7)

Hak Milik Atiqah Safian

Sujud yang terakhir, lama masa yang diambil. Dia bangkit untuk tahiyyat akhir. Diberi salam dan tangannya ditadah untuk berdoa. Tanpa sedar, air matanya mengalir, membasahi pipi. Sebentar lagi.. Sebentar sahaja lagi.

Aina memandang sekeliling. Hanya beberapa sahaja manusia di dalam masjid. Dan dia satu-satunya gadis muda yang solat di situ. Yang lain kesemuanya sudah tampak dewasa. Di mana hilangnya anak-anak muda? Sibuk dengan dunia? Sibuk dengan keseronokan? Entah. Aina sendiri tidak pasti.

Telekung dilipat rapi dan dimasukkan ke dalam beg. Kepalanya ditutup pula dengan tudung. Dipandang lama cermin di hadapannya. Ini saatnya. Aina menarik nafas panjang. Tiada masa untuknya memandang belakang lagi. Dia sudah pergi sejauh ini. Dia perlu meneruskan perjalanannya.

***

Aina keluar dari keretanya. HEAVEN. Itu yang tertera pada pintu bangunan itu. Kakinya terasa berat ingin melangkah. Dengan bacaan Basmallah, Aina cuba masuk ke dalam namun ada seorang lelaki bertubuh sasa menghalang perjalanannya.

Aina mengetap bibirnya memikirkan sesuatu. Setelah berfikir panjang, Aina mengeluarkan not RM100 dan cuba dianggapnya darurat. 'Ya Allah Ya Tuhanku. Aku melakukan semua ini untuk menyelamatkan mereka yang tidak berdosa. Ampunilah dosaku ini.' desis hati Aina. Lelaki bertubuh sasa itu mengambil duit tersebut lalu membenarkan Aina masuk.

Masuk sahaja, lagu berdengung kuat di telinga Aina. Terasa hendak pekak sahaja telinga Aina. Terus ditutup kedua-dua telinga. Dipandang pula sekeliling. Banyak gadis menari-nari di situ. Tanpa segan silu, membiarkan tubuh mereka diramas oleh lelaki-lelaki yang kelaparan.

Matanya melirik ke tempat lain. Ternampak pula mereka yang sedang minum air kencing syaitan dengan lagaknya. Ada juga tanpa segan silu sedang bercumbu-cumbuan. Saat itu, Aina terasa hendak menangis dan melarikan diri dari tempat itu.

'Ya Allah, lindungilah aku sebagaimana Engkau melindungi hamba-Mu yang lain. Teguhkanlah imanku.' Aina beberapa kali berdoa. Sungguh dia benar-benar takut akan situasi ini. Dicuba tidak tersentuh dengan lelaki. Kakinya melangkah ke arah bar.

"Minum apa, cik adik?"

Lelaki yang bekerja di meja bar itu mendekatinya. Aina takut-takut namun dia cuba menghilangkan rasa gelisahnya dengan menggelengkan kepalanya.

"You're sure? My treat."

Lelaki itu mula tersenyum nakal namun Aina menggeleng kepalanya sekali lagi dengan senyuman penuh kepura-puraan. Lelaki itu meninggalkan Aina bersendirian. Aina memandang sekeliling, mencari-cari sesuatu. Dia tidak pasti apa yang dicari namun dia cuba memberanikan dirinya.

Matanya terpandang kepada dua pasangan di sebelah. Mereka sedang berbual dengan mesranya lalu bercumbu-cumbuan dengan rakusnya. Aina terkejut lalu melarikan anak matanya. Dia beristighfar banyak-banyak. Akhirnya, dia berpaling dan tiba-tiba terasa dirinya terlanggar terhadap sesuatu yang bersaiz besar.

"Ouch !"

"Are you okay, miss ?"

Tangannya diurut seketika sebelum dia bangkit dari tempat dia terjatuh. Sebaik sahaja dia berdiri, Aina memandang orang yang dilanggarnya tadi. Mata Aina terbeliak seluas-luasnya. Lidahnya tiba-tiba terasa kelu.

"SAIFUL?"

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam )

<----- Part 6
Part 8 ----->

Thursday, 29 October 2015

Karma (Part 6)

Hak Milik Atiqah Safian


Mengikut laporan ayahnya, Raihan terpaksa dimasukkan ke dalam hospital bahagia kerana terlalu trauma. Sekali lagi, Aina pergi tanpa Saiful di sisi. Nampaknya, hanya dia sendiri terpaksa menyelesaikan kes ini.

"Raihan ni takdelah seserius yang lain. Tapi dia ni lebih suka menyendiri. Kadang-kadang, suka benar melukis. Dia pun tak banyak cakap."

Aina mengangguk sahaja mendengar kata-kata doktor yang sedang membawanya kepada Raihan. Hatinya berdebar-debar. Ini kali pertama dia ke dalam hospital bahagia. Tak dapat dibayangkan jika dia sendiri yang berada di sini untuk dirawat.

Tiba di satu bilik. Terlihat seorang gadis sedang mencangkung, melukis sesuatu di atas kertas. Seperti Huda, rambutnya botak. Tangannya berparut-parut. Kakinya juga begitu. Entah bagaimana pula badannya.

"Raihan, ada orang nak jumpa kamu."

Diam. Masih lagi membisu gadis itu. Aina memandang wajahnya. Cantik. Seperti seorang kacukan cina dengan melayu. Huda juga cantik kerana mempunyai darah Pakistan. Sungguh dia cemburu saat ini. Namun, dia cuba sedaya upaya bersyukur atas nikmat yang ada pada dirinya.

"Raihan lukis apa ni?"

Seperti seorang ibu, Aina bertanya kepada Raihan. Namun dia diam sahaja. Aina curi-curi memandang lukisan Raihan. Seorang lelaki. Namun Aina tidak mampu cam akan wajah itu disebabkan itu hanyalah sekadar kartun.

"Siapa ni?"

Aina tidak berputus asa. Namun Raihan masih diam. Dicubanya menarik kertas lukisan Aina namun tiba-tiba..

"KAU JANGAN RAMPAS DIA! DIA NAK BAWA AKU KE SYURGA!!"

Terkejut Aina. Syurga? Siapa sebenarnya lelaki tu? Aina bangkit memandang wajah Raihan yang masih lagi merah padam. Aina berjalan-jalan memandang bilik Raihan sekeliling manakala Raihan sendiri masih dengan angannya.

Ada satu gambar tampak seorang gadis duduk di sebuah bar. Ada cawan di atas meja itu. Gambar kedua pula, seorang lelaki duduk dengan seorang gadis. Kini, ada dua botol di atas meja itu. Gambar ketiga, gadis dan lelaki itu berdiri, memandang antara satu sama lain. Gambar keempat, ada katil pula berdekatan dengan mereka berdua. Gambar kelima, gadis itu sedang duduk dan lelaki itu berdiri. Gambar keenam, gadis itu terlentang jatuh dan lelaki itu memalingkan wajahnya.

Saat itu Aina tersedar sesuatu. Adakah ini kejadian yang dialami Raihan? Tiba-tiba terdengar Raihan membisikkan sesuatu.. Dia sebut.... SYURGA! Apa maksud semua ini? Syurga? Neraka? Seksa? Aina masih bingung.

Tiba-tiba Aina terfikirkan sesuautu. Didekat bibirnya ke arah telinga Raihan yang juga berparut. Gadis itu masih lagi dengan lukisan kartunnya.

"Heaven..."

"Heaven......"

Serentak dengan itu, Raihan mengambil satu kertas. Dia terus sahaja melukis seorang gadis dan seorang lelaki duduk di satu tempat. Mereka seperti sedang berbual dengan mesra kerana ada senyuman di bibir mereka. Saat itu, Aina sudah menganggak sesuatu.

Aina terus keluar meninggalkan hospital bahagia tersebut. Handphonenya dipandang sebentar. Masih tiada panggilan atau mesej masuk. Tampaknya Saiful takkan turut serta dalam aksi seterusnya. Aina masuk ke dalam keretanya dan memulakan enjin.

"Heaven.. Here I come.."

( Insya-Allah, akan bersambung. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam )

<----- Part 5
Part 7 ------ >