Wednesday 11 November 2015

Karma ( Part 11)

Hak Milik Atiqah Safian
P.S : Bagi yang belum membaca Karma dari Part 1, boleh klik link INI.

Badan Aina menggigil semula pabila mata Saiful tajam memandang wajahnya. Pabila Saiful mendekati Aina, bibir Aina terketar-ketar. Terkumat-kamit bibir Aina menyebut nama Allah. Hatinya tidak berhenti berdoa meminta perlindungan.

Tangan Saiful masih lagi memegang pisau dengan erat. Aina memandang sahaja, mengharapkan Saiful tidak mengapa-apakan dirinya. Saiful melutut sambil matanya terus terpaku memandang wajah Aina.

"Aku tahu aku dah melebih, Aina. Tapi aku buat semua ni bukan sebab dendam. Aku cuma nak selamatkan ibu aku je. Cara macam tu je akan buatkan dia berhenti tapi aku tak sangka pula dia mati. Aku tak sengaja. Tapi bagitau aku, Aina. Adakah dengan kata-kata lembut kau tu mampu menyedarkan Huda?"

Aina terdiam. Ya. Huda seorang yang agak sosial. Sudah beberapa kali dia cuba menyedarkan Huda namun gadis itu hanya memekakkan telinganya sahaja.

"Tak mampu kan? Jadi, aku buat semua ni supaya dorang sedar, semua ni sifat sementara sahaja. Kecantikan pada tubuh badan tidak akan berkekalan. Seksaan semua ni sikit je kalau dibandingkan seksaan di neraka nanti."

Hati Aina terasa sebak. Tiba-tiba Aina terkenang kenangan dia bersama-sama Saiful di rumah anak-anak yatim. Senyuman Saiful yang tersimpan seribu satu kepahitan. Saiful tidak ubah seperti abangnya sendiri. Hatinya Aina terasa begitu berat namun...

"Maafkan aku, Saiful."

Kaki Aina tiba-tiba sahaja menolak pisau di tangan Saiful ke arah perut lelaki itu sendiri. Dia cuba bangkit walaupun badannya masih terikat pada kerusi. Dirempuh badan lelaki itu hingga Saiful meraung kesakitan.

Pisau yang tercampak jauh terus Aina kutip dengan sukarnya. Dia cuba berhati-hati memotong ikatan tersebut. Saiful yang cedera cuba bangkit dengan lemah. Aina yang sudah melepaskan diri terus memberi sepakan 'flap kick' ke arah wajahnya. Sekali lagi, Saiful rebah.

Nasib Aina baik kerana dahulu ayahnya pernah memaksanya untuk mengikuti latihan karate do. Memang sungguh berbaloi. Terus Aina mengikat tangan dan kaki Saiful yang masih lemah akibat darah yang tidak berhenti mengalir.

Terus dilepaskan pula Fazira yang masih lagi tidak berhenti menangis. Mereka saling berpelukan. Aina memandang wajah Saiful yang semakin pucat.

"Saiful. Dengan kekasaran jua tak mampu mengubahkan seseorang manusia. Kita sudah jalankan tanggungjawab kita untuk membawa dorang ke arah jalan yang benar. Tapi dorang sendiri yang perlu memilih jalan yang dorang nak masuk. Islam itu indah, Saiful. Jangan disebabkan kekejaman kau, mereka fikir Islam itu zalim dan akhirnya, menjauhkan diri dari kebenaran."

***

Aina merenung jauh memandang keindahan ciptaan Allah swt. Terasa hebat sekali malah hebat lagi keadaan di syurga nanti. Tapi entah pula bagaimana keadaan di neraka. Pasti mengerikan malah lebih buruk daripada segala ngeri di dunia ini. Malah, semestinya lebih ngeri daripada seksaan yang berlaku di hadapan matanya sendiri.

"Teringatkan Saiful lagi?"

Lamunan Aina terganggu. Dia mencari-cari suara tadi. Terlihat susuk tubuh badan yang kecil duduk bersebelahan dengannya. Huda. Tampak lebih manis daripada selalu bersama-sama tudungnya serta berbaju kurung.

Saiful. Sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu. Ayah kata, dia dimasukkan ke hospital bahagia demi mendapatkan rawatan. Tapi ada juga yang berkata dia dimasukkan terus ke lokap dan bakal menerima hukuman gantung sampai mati.

Bukan Aina sudah tidak peduli akan Saiful. Namun, dia perlukan ketenangan. Begitu jua Fariza yang kini cuba mencari kehidupan baru. Huda pula tampaknya sudah mencari sinar cahaya keimanan. Aina sungguh bangga dengan Huda.

"Aina, janganlah terlalu benci akan Saiful. Kalau Huda, Huda terasa nak berterima kasih dengan dia."

Berterima kasih dengan seseorang yang telah menyeksa kita? Adakah Huda sudah tidak siuman? Aina memandang wajah Huda yang tersenyum dengan seribu satu tanda tanya.

"Mungkin betul, sebelum ni Huda cuma tutup aurat sebab malu nak tunjuk badan Huda yang dah cacat ni. Tapi lama-lama Huda rasa dah terbiasa pula dan dah mula tutup aurat kerana itu adalah suruhan-Nya, bukan kerana malu kepada manusia. Allah menghantar Aina kepada Huda untuk bagi kesedaran secara lembut tapi Huda tak nak dengar. Allah hantar pula Saiful. Adakalanya musibah itu mampu membangkitkan atau menjatuhkan manusia."

"Aina.. Saiful pada awalnya tegur Huda tapi Huda tak boleh terima. Huda memang silap sebab Huda ingat diri Huda je betul. Huda tak nak jadi hipokrit pada manusia tapi Huda hipokrit pada Allah. Mungkin kalau semua ni tak terjadi, Huda takkan sedar semua ni. Semua ada hikmah-Nya. Huda tak hormat pada diri Huda jadi orang lain pun tak hormat Huda macam Saiful tu. Tapi dia sangat hormat Aina dengan Fazira sebab korang hormat diri korang sendiri."

"Menutup aurat bukan sekadar untuk dapatkan keredhaan-Nya. Tapi kerana ingin melindungi diri daripada manusia yang ada niat yang tidak baik kepada kita. Kita dapat elakkan fitnah dan pandangan yang tidak baik daripada kaum lelaki. Huda pun dah faham sekarang kan?" Aina pula berkata-kata.

Huda tersenyum manis. Aina pula membalas dengan senyuman yang lebih lebar. Akhirnya, Huda sedar kepentingan menutup aurat itu. Tapi entah berapa ramai lagi manusia di luar sana yang sependapat dengan Huda. Dan entah berapa ramai hamba Allah di dunia ini sedar bahawa hari yang dijanjikan semakin tiba. 'Ya Allah, Kau berikanlah hidayah kepada hamba-Mu ini.' desis hati Aina.

- Tamat -

( Alhamdulillah. Tamat sudah. Terima kasih sebab sudi baca. Wassalam~ )

<----- Part 10

No comments:

Post a Comment